Thursday, March 19, 2009

Orang berilmu?

Orang berilmu sentiasa istiqamah, ikhlas dan berani, ketegasan mereka didorong oleh kesungguhan untuk mempertahankan prinsip kebenaran.


Orang yang berilmu mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Tuhan dan masyarakat. Al-Quran menggelarkan golongan ini dengan pelbagai gelaran mulia dan terhormat yang menggambarkan kemuliaan dan ketinggian kedudukan mereka di sisi Allah SWT dan makhluk-Nya.


Mereka digelar sebagai "al-Raasikhun fil Ilm" (Al Imran : 7), "Ulul al-Ilmi" (Al Imran : 18), "Ulul al-Bab" (Al Imran : 190), "al-Basir" dan "as-Sami’ " (Hud : 24), "al-A’limun" (al-A’nkabut : 43), "al-Ulama" (Fatir : 28), "al-Ahya’ " (Fatir : 35) dan berbagai nama baik dan gelaran mulia lain.


Gelaran ini digandingkan Allah SWT dengan ayat-ayat yang membicarakan dasar-dasar akidah tauhid dengan antaranya menghubungkan kitab suci al-Quran dan fenomena alam sebagai "wasilah" atau "ayat" bagi mengenal dan mengakui-Nya.


Ia sekaligus menunjukkan bahawa daya usaha untuk memperoleh ilmu melalui pelbagai saluran dan pancaindera yang dikurniakan Allah SWT membimbing seseorang ke arah mengenal dan mengakui ketauhidan Rabbul Jalil.


Ini memberi satu isyarat dan petunjuk yang penting bahawa ilmu mempunyai hubungkait yang amat erat dengan dasar akidah tauhid. Orang yang memiliki ilmu, tidak terhad kepada ilmu pengajian Islam semata-mata - sepatutnya mengenal dan mengakui keesaan Allah SWT dan keagungan-Nya.


Hasilnya, orang yang berilmu akan gerun, tunduk, kerdil dan hina berhadapan dengan kekuasaan dan keagungan Allah SWT . Ibn Mas’ud pernah berkata "bukanlah dinamakan berilmu dengan hanya banyaknya (meriwayatkan) hadis, tetapi berilmu yang sebenar ialah (melahirkan) banyaknya perasaan gerun (kepada keagungan Allah).


Akidah murni mereka begitu jelas terserlah melalui bidang penyelidikan dan pengamalan kepakaran masing-masing. Mereka tunduk dan beriman kepada kekuasaan Allah SWT. Ini sekali lagi membuktikan bahawa perkara akidah dan roh fitrah Islam merentasi semua aspek kehidupan manusia khususnya para ilmuan dan cendekiawan yang terlibat secara langsung dalam kajian dan penyelidikan alam "kauniyyah" dan manusia.


Dalam surah ali Imran ayat ke-18, Allah SWT berfirman yang bermaksud:


"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".


Ketika menafsirkan ayat ini, Ibn Kathir membuat suatu rumusan yang menarik bahawa apabila Allah SWT menggandingkan "diri-Nya" dengan para malaikat dan orang yang berilmu tentang penyaksian "keesaan Allah SWT dan kemutlakan-Nya sebagai Tuhan yang layak disembah", ia adalah suatu penghormatan agung secara khusus daripada-Nya kepada orang-orang yang berilmu yang sentiasa bergerak di atas paksi kebenaran dan menjunjung tinggi prinsip ini serta berpegang teguh dengannya dalam semua keadaan dan suasana.


Rakaman penghormatan ini kekal sebagaimana kekalnya kitab wahyu ini sebagai peringatan kepada golongan berilmu bahawa mereka amat istimewa di sisi Allah SWT . Mereka diangkat sebaris dengan para malaikat yang menjadi saksi Keesaan Allah SWT. Mereka memikul amanah Allah SWT kerana mereka adalah pewaris para nabi.


Oleh yang demikian mereka perlu memiliki dan beramal dengan sifat-sifat yang jelas melalui perkataan yang dituturkan, tindakan yang diambil, perbuatan yang dilakukan, sikap yang ditunjukkan, dan seruan yang dibuat. Sifat dan sikap yang tidak selari dengan kemuliaan dan ketinggian kedudukan mereka boleh mencacatkan kewibawaan dan penghormatan masyarakat umum.


Sifat ikhlas, berani, dan tegas serta sentiasa istiqamah harus sebati dengan orang yang berilmu. Orang yang berilmu tidak sangat mengharapkan ganjaran, sanjungan, dan pujian manusia. Keikhlasan mereka adalah hasil daripada ramuan kecintaan dan keyakinan kepada prinsip kebenaran yang menjadi tonggak pegangan mereka.


Orang yang berilmu amat menjunjung tinggi prinsip kebenaran. Mereka tidak menafikan kebenaran dari pihak lain dan tidak pula membolot kebenaran untuknya secara mutlak. Kebenaran yang menjadi pegangan mereka bukan diukur daripada keluarnya perkataan atau perakuan hanya daripada mulut atau kelompok mereka sahaja. Bahkan kebenaran itu boleh juga datang daripada orang lain. Berlapang dada dan merendah diri adalah akhlak murni orang yang berilmu.


Kebenaran yang sejati adalah apabila datangnya daripada nas al-Quran al-Karim dan as-Sunnah an-Nabawiyyah. Keikhlasan Imam Malik mendorongnya menegah Khalifah al-Mahdi dan al-Rashid daripada mengangkat kitab karangannya al-Muwatta’ sebagai undang-undang dasar kerajaan. Imam al-Syafei pernah menyatakan bahawa :"Sesiapa yang mendapati hadis Rasulullah s.a.w. (yang sahih) yang bercanggah dengan pendapatku, maka menjadi kewajipannya untuk mengikuti nas hadis sahih tersebut dan meninggalkan pendapatku".


Keberanian orang yang berilmu adalah hasil kegerunan dan keyakinan teguh kepada kekuatan dan kekuasaan Tuhan Rabbul Jalil. Firman Allah SWT yang bermaksud :



"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun."- Surah Fatir : ayat 28


Mereka percaya penguasa kuat, tetapi mereka lebih yakin bahawa Allah Maha Berkuasa atas sekelian makhluk-Nya. Kehinaan di sisi manusia kerana mempertahankan prinsip kebenaran dipandang lebih baik dan mulia daripada kehinaan di sisi Allah SWT kerana mengenepi kebenaran dek kerana untuk menarik perhatian atau mendampingi manusia. Orang yang berilmu boleh hilang kehormatan diri di sisi masyarakat umum jika tidak bersikap sedemikian.


Ketegasan orang yang berilmu pula adalah didorong oleh kesungguhan untuk mempertahankan prinsip kebenaran yang diamanahkan oleh Allah SWT. Mereka amat yakin bahawa menyatakan kebenaran dan perkara hak adalah amanah Allah SWT sekalipun mereka mengetahui risikonya amat besar.


Sebaliknya menyembunyikan kebenaran dan hak adalah suatu "jenayah" berat di sisi Allah SWT yang boleh memusnahkan kewibawaan dan kemuliaan dirinya. Orang yang berilmu amat yakin dengan pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud:


"Sesiapa yang disoal tentang sesuatu ilmu, lalu ia menyembunyikannya ia akan dikekang mulutnya pada hari kiamat dengan kekangan dari api neraka"

(Hadis Riwayat Tirmizi)

No comments:

Post a Comment